Wawancara :Rahsia Onn Ismail bertahan


Tan sri Onn Ismail
Tan sri Onn Ismail
 
 
Bersama Dr Mahathir ketika perasmian Sekolah Rendah Sungai Udang Klang pada 1990.
Bersama Dr Mahathir ketika perasmian Sekolah Rendah Sungai Udang Klang pada 1990.


TAN SRI ONN ISMAIL antara pemimpin politik yang paling lama berkhidmat di Selangor menerusi jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa dan Selat Klang selama lapan penggal, sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) tiga penggal serta memegang jawatan Pengerusi Tetap Umno.

‘Koboi Selangor’ ini juga adalah satu-satunya Adun yang berkhidmat dengan enam Menteri Besar Selangor iaitu sejak zaman Datuk Seri Harun Idris, Datuk Hormat Rafei, Datuk Ahmad Razali, Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo. Sinar Harian sempat menemui beliau yang kini bersara dari arena politik dan kembali fokus kepada keluarga.

Bagaimana perjalanan hidup Tan Sri sebelum menjadi ahli politik yang berjaya?
Saya bukanlah orang yang mempunyai banyak pengetahuan politik, kerana saya adalah seorang guru. Kelulusan saya bukan dari universiti tetapi hanya di Maktab Perguruan Bahasa. Saya berkhidmat lama seperti Tun Ghafar Baba. Namun beliau berkhidmat untuk Parlimen dan negeri. Saya hanya negeri sahaja.


Tan Sri adalah satu-satunya wakil rakyat yang berkhidmat untuk enam Menteri Besar di Selangor, boleh cerita sedikit bagaimana Tan Sri menjadi Adun?
Saya mula-mula menjadi wakil rakyat, aktif dalam kesatuan pelajar iaitu Kesatuan Pelajar-pelajar Melayu Selangor di mana saya menjadi presiden. Oleh kerana saya ini aktif, Datuk Seri Harun Idris yang ketika itu Menteri Besar kenal dan telah memilih saya melalui setiausahanya.

Ketika menjadi wakil rakyat, saya banyak membawa pemimpin lain menjadi wakil rakyat di Selangor. Antara mereka yang saya usahakan termasuk Datuk Zakaria Mat Derus, Samad Harun dan juga Datuk Rahman Palil yang kini menjadi Adun Sementa.


Tan Sri pernah terkenal dengan panggilan 'Koboi Selangor.' Boleh ceritakan bagaimana mendapat gelaran ini?
Gelaran ini diperoleh ketika satu mesyuarat bahagian... ada sekumpulan orang membelasah tiga orang kerana perselisihan pendapat. Jadi kerana saya ada pistol dan berada di tempat kejadian, saya pun melepaskan satu das tembakan di atas khemah mesyuarat berkenaan. Mendengar tembakan itu kumpulan tersebut pun lari kerana ingatkan polis dah datang. Saya pun cepat-cepat selamatkan tiga orang yang hampir lunyai dibelasah hampir 30 orang. Selepas itu saya pergi ke balai dan membuat laporan, mengatakan saya yang melepaskan tembakan itu. Kejadian itu masuk surat khabar. Bila Sultan Selangor dapat tahu, terus dia panggil saya ‘ini Koboi Selangor!'


Sebagai seorang pendidik, apakah ilmu yang Tan Sri peroleh dalam bidang politik? Boleh Tan Sri kongsikan?
Saya sememangnya meminati kerjaya pendidik. Saya beriltizam kerana ini kerja yang paling mulia. Tempat pertama saya mengajar adalah di Pulau Lumut. Selepas itu saya cuba minta ditukarkan tempat setelah banyak bersolat dan berdoa, alhamdulillah saya dapat mengajar di Tanjung Malim.

Apa yang saya peroleh sepanjang hidup, saya ingin pesan kepada anak saya dan juga generasi akan datang bahawa apa yang dikecapi hari ini bukan kita dapat dengan cara mudah atau ia melayang ke pangkuan. Ini semuanya hasil kerja bersungguh-sungguh dan berdoa kepada ALLAH.

Dalam perjuangan saya selama ini, banyak perkara yang saya kenangkan iaitu rakan seperjuangan termasuk yang sudah meninggal dunia. Ada antara mereka sering memberi ungkapan ini kepada saya ‘hidup ini mesti kita berbudi, kita mesti membalas budi, paling tidak kita mengenang budi’. Inilah kata-kata rakan saya, Azman Atar.

Saya juga sering menggunakan falsafah Pak Zaaba, antaranya, ‘buatlah wahai rakan dalam lautan kamu campakkan, kalau tidak dimakan ikan, Tuhanmu tahu ia atau bukan.’ Mak saya juga beri satu kata-kata iaitu, ‘dermalah wahai anak, jika satu yang kamu dermakan, nescaya 10 ganjaran akan diterima.’

Ibu bapa saya mempunyai 16 anak, tetapi lapan orang meninggal ketika zaman Jepun kerana tidak cukup zat. Hanya tinggal lapan dan saya adalah anak kedua bongsu. Anak saya pula ada enam orang, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.


Apakah rahsia Tan Sri kekal berkhidmat sebagai wakil rakyat sehingga lapan penggal?
Ini berkat kerja kuat, ikhlas dan jujur dalam perjuangan. Kita juga perlu buat baik dengan semua orang. Jangan balas kejahatan orang pada kita. Hinggakan pada suatu ketika saya pernah sakit sehingga enam bulan. Namun, apabila saya berjumpa dengan doktor, dia kata saya tiada apa-apa, saya ok. Selepas itu saya perlu berubat secara tradisional dengan 33 orang. Akhir sekali saya berubat dengan orang Surabaya, Alhamdulillah dengan izin Tuhan saya baik. Apabila saya baik, orang Surabaya ini kata, tuan mahu atau tidak saya pulangkan semula ‘benda’ ini kepada orang yang buat tuan, saya kata tidak perlu, kerana cukuplah saya sudah baik, kerja dia itu, adalah antara dia dengan Tuhan. Saya tidak suruh orang Surabaya ini balas balik. Itu cara saya.


Bila perkara ini terjadi?
Ini berlaku ketika saya berumur 70 tahun, waktu pemilihan Umno Malaysia, apabila mereka perlu mengumumkan saya sakit. Masa itu saya bertanding sebagai Pengerusi Tetap tetapi saya kalah. Walaupun kalah tetapi saya tidak kecewa, saya terima dengan terbuka.

Ketika pemilihan ini berlangsung, rakan saya menasihati untuk saya pergi ke Makkah mencari petunjuk. Ketika tiba di sana, saya meminta dengan ALLAH. Jika pemilihan Umno ini baik untuk saya, bagilah pada saya. Tetapi jika kalah itu baik pada saya bagilah pada saya. Itu doa saya di hadapan Kaabah. Saya terima keputusan kekalahan dengan senang hati, malah saya boleh umumkan keputusan pemenang.


Sebagai orang lama dalam politik, apakah cabaran yang paling getir dalam dunia politik? 
Musuh dalam ini ada, apabila kita mahu bertanding bahagian. Tetapi saya rasa apa yang paling penting bukan diri kita tetapi parti itu sendiri. Kalau parti sudah menentukan calon kita mesti menerima keputusan terbabit dan serah kepada demokrasi. Siapa yang dipilih rakyat dalam pilihan raya, kita terima. Tetapi yang penting dalam pilihan raya kita mesti tentukan calon kita menang. Itu yang paling penting dan perlu diingati semua pemimpin parti.

Kita kalah dalam bahagian, nama tidak dicalonkan, itu tidak mengapa. Apa yang penting, dalam pilihan raya parti kita menang. Ini kerana jika menang kita berkuasa dan boleh memerintah negeri.


Sebagai orang lama dalam politik,  bolehkah BN me-rampas kembali Selangor dari PR? 
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan datang ini, kita mesti tentukan parti ini meti menang. Saya yakin dalam PRU13 ini, Selangor akan kembali ke tangan Barisan Nasional (BN).

Keyakinan ini timbul lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menjadi Pengerusi Perhubungan Negeri dan dibantu oleh (Datuk Seri) Noh Omar. Saya yakin rakyat akan memberi sokongan berdasarkan gerak kerja Najib yang baik berkhidmat untuk rakyat.

Kemenangan ini boleh dicapai, tetapi dengan syarat semua ahli parti perlu akur dengan siapa yang dilantik sebagai calon untuk bertanding. Apa guna ada jawatan yang tinggi jika parti ini kalah?

Saya menyeru kepada semua untuk mendengar arahan dari pucuk pimpinan dan bekerja keras dalam membantu sesiapa sahaja yang akan dilantik nanti. Difahamkan setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) kita telah menamakan calon mereka. Keputusan kini dalam tangan pemimpin parti.


Selain faktor aura Najib sebagai pemimpin utama negara dan parti, apakah faktor yang akan membolehkan BN kembali di Selangor?
Saya rasa calon yang akan dipilih nanti, akan terdiri daripada mereka yang berkebolehan dan mampu menjadi ‘calon boleh menang’ di Selangor. Ini kerana pucuk pimpinan parti akan memilih dengan sebaiknya sesiapa sahaja yang difikirkan layak untuk bertanding atas tiket parti. Saya rasa kali ini mungkin akan ramai muka baru yang terdiri daripada orang muda dan dicampurkan dengan muka-muka lama.


Siapakah yang Tan Sri lihat akan dipilih menjadi Menteri Besar jika BN kembali memerintah Selangor?
Keputusan itu biarlah Perdana Menteri yang tentukan. Apabila nama diumumkan janganlah ada pihak mempersoalkannya kerana itu pilihan pucuk pimpinan. Kita perlu yakin dengan kepimpinan Najib dan Noh Omar di Selangor.

Saya rasa dengan kepimpinan Najib dan semua kata sepakat pimpinan parti di Selangor ini, BN akan memerintah Selangor. Pimpinan bahagian perlu akur dengan kesemua strategi dan keputusan parti dan bekerja tanpa mengharapkan ganjaran.


Apa pendapat Tan Sri terhadap orang yang masuk parti hanya untuk mendapat kekayaan?
Itu niat tidak betul. Mereka tidak ikhlas dalam perjuangan parti. Saya tidak akan izinkan orang sebegini untuk merosakkan parti kerana kesemua yang berlaku adalah kehendak ALLAH.


Bagaimana Tan Sri melihat gesaan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu pecat ahli sabotaj parti?
Saya sokong sepenuhnya cadangan itu. Ini akan memberikan parti, kawalan terhadap individu yang tidak bertanggungjawab yang akan merosakkan parti. Saya terkilan dengan beberapa ahli parti yang pernah mendapat ganjaran dan kemudahan tetapi sanggup meninggalkan parti. Ada beberapa orang yang kita boleh lihat sekarang yang melakukan pengkhianatan tersebut.

Saya juga ingin berpesan kepada pemimpin parti yang ada sekarang jangan kita menjadi punca parti kalah hanya kerana kepentingan diri. Jika nasihat ini mampu diikut oleh semua pihak, saya yakin kita akan kembali kuat seperti dahulu.


Sempena sambutan Hari Malaysia 16 September, apakah pandangan Tan Sri mengenai semangat patriotik generasi sekarang?
Sekarang ini sudah ramai orang yang pandai. Zaman dahulu hanya guru yang orang pandang sebagai golongan berpendidikan. Namun, sekarang ramai orang mempunyai pelajaran tinggi, lalu masing-masing mempunyai pandangan sendiri. Ini menjadikan perpaduan agak sukar untuk dilaksanakan kerana semua anggap diri mereka lebih pandai daripada yang lain.

Nilai masyarakat semakin kurang sehingga ada yang sanggup pijak gambar pemimpi.





Sumber: Temu bual wartawan Sinar, RISWANDI RAZAK dan MOHAMAD FAZLI ZAINUL ABIDIN bersama jurugambar, ROSLI TALIB.





POSTED BY hAng keBun
POSTED IN
DISCUSSION 0 Comments

Leave a Reply

back to top