65 hingga 70 peratus penuntut wanita di IPTA

Institusi kekeluargaan kini mengalami keruntuhan sehingga menyebabkan anak-anak terutama remaja tidak lagi mendapat perhatian sewajarnya daripada ibu bapa.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu disebabkan kesibukan ibu bapa yang sentiasa bekerja sehingga mengabaikan anak-anak mereka terutama dalam aspek pendidikan.

Katanya, ia telah menyebabkan ramai anak-anak terutama remaja lelaki terjebak di dalam gejala yang tidak sihat seperti merempit dan menghisap dadah.

"Saya amat sedih apabila pergi ke universiti-universiti, entah ke mana pergi penuntut lelaki. Ada yang kata mereka sedang belajar di dalam bidang lain, tetapi bila saya pergi tengok tidak ada juga. Di dalam universiti sekarang ada 65 hingga 70 peratus penuntut wanita.

"Mana pergi kaum lelaki? Nampaknya sudah ramai yang jadi mat rempit. Inilah orang yang bakal membangunkan negara kita tetapi mereka jadi seperti ini.

''Pada pendapat saya, sekarang terdapat keruntuhan di dalam institusi kekeluargaan kita," katanya pada sesi soal jawab pada majlis Bicara Minda Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad: Transformasi Kepimpinan Belia Meniti Cabaran Wawasan 2020 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan dua timbalannya, Datuk Razali Ibrahim dan Senator Gan Ping Sieu.

Ditanya bagaimana golongan belia berperanan menjayakan Wawasan 2020, Dr. Mahathir berkata, sekiranya semua rakyat Malaysia memberi kerjasama yang baik dalam aspek membangunkan negara, ia sudah pasti akan dapat dicapai dengan jayanya.

"Ilmu yang ada amat penting pada hari ini. Kita boleh tentukan matlamat tetapi kita kena tahu macam mana untuk mencapai matlamat itu," katanya.

POSTED BY hAng keBun
POSTED IN
DISCUSSION 0 Comments

Leave a Reply

back to top